Khamis, November 19

Alhamdulillah, Tahun ini membuka tirai dan lembaran baru. Waktu cuti sekolah dinantikan sebilangan kita. Ini adalah peluang bagi pegawai-pegawai kerajaan menunaikan umrah bersama anak-anak atau keluarga. Almaklum, cuti sekolah inda ada kan dingaukan. Waktu berehat dan peluang bersama-sama menikmati cuti persekolahan.
Melancong sambil beribadat memberikan peluang untuk mendapat redha ALLAH kerana keutamaan ziarah telah digariskan dalam hadis Rasulullah di tiga tempat iaitu Masjidil Haram di Makkah, Masjid an-Nabawi di Madinah dan Masjidil Aqsa di Palestin.
Pekerjaan ibadat umrah inda sesibuk pekerjaan ibadat haji. Ibadat Haji memerlukan tenaga, masa dan tempat yang berlainan untuk dikerjakan. Berbanding pekerjaan Ibadat Umrah hanya dikerjakan sedikit masa dan tempat. Umrah dikatakan haji kecil dan ringkas.
Pada kebiasaan perjalanan umrah mengikuti SURIA HARMONY, kita akan dibawa beberapa hari di Madinah dan selebihnya berada di Mekkah. Bakal jemaah Umrah dikehendaki menyediakan senarai di bawah ini;
i. Pasport antarbangsa
ii. Tiket pergi dan balik
iii. Buku suntikan
iv. Borang permohonan visa dan gambar
v. Kod kebenaran visa umrah
vi. Gambar yang diimbas (scan)
vii. Dokumen-dokumen sokongan seperti sijil nikah, surat beranak dan lain-lain.

Pekerjaan wajib haji ada 6, manakala wajib umrah cuma ada 2 iaitu Berniat Ihram di Miqat dan Meninggalkan Perkara-perkara yang Diharamkan Semasa Berihram. Melaksanakan 5 rukun Umrah;
1. Niat Ihram.
2. Tawaf.
3. Sa’ie.
4. Bercukur / Bergunting.
5. Tertib.
Apabila selesai saja beberapa hari berada di Kota Suci Madinah, jemaah akan bertolak ke Kota Suci Mekkah. Di sinilah bermulanya perjalanan Umrah. Dengan singgah di Bir Ali (tempat Miqat) setelah memakai dengan lengkap pakaian ihram dari hotel di Madinah, jemaah berniat dengan niat ihram umrah.
Melebihi 498 kilometer perjalanan dari Madinah ke Mekkah, mengambil masa 6 ke 8 jam, memerlukan kesabaran dalam diri jemaah. Hanya sekali sahaja bas akan singgah di dalam perjalanan ini. Ini memberi peluang pemandu bas berehat dan jemaah mengerjakan sembahyang. Di sinilah perlunya jemaah mengetahui cara-cara mengerjakan Solat Jamak dan Qasar.